Sunday, April 15, 2007

...>Kata - Kata Dari Siti Nurhaliza<...

Selasa, 03 April 2007

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini.

Selama 12 tahun siti bersama anda, ulangtahun yang memberikan siti kematangan, kemesraan dan pertemuan dengan anda semua. Siti bersyukur kerana kerjaya siti dapat memberikan siti ruang untuk bertemu dengan segenap lapisan masyarakat, menyalurkan bakat yang ada, berkongsi kebahagiaan, kesukaran, kepayahan, cabaran dan kejayaan dengan anda seterusnya memberikan siti peluang untuk mematangkan diri dalam dunia yang penuh pancaroba ini.

1 April 1996 merupakan hari yang begitu bererti apabila album pertama siti dipasarkan ketika itu. Kini siti telah mempunyai 11 buah album solo dan beberapa album lain dan inilah yang telah mendekatkan siti dengan anda semua. Sememangnya tarikh yang begitu bererti ini akan sentiasa di ingatan dan tentunya siti amat berterima kasih kerana anda semua tidak jemu mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan siti. Semua yang siti lakukan ini adalah kerana wujudnya anda dalam kerjaya siti dan tentunya siti akan terus mengenang detik yang manis ini. April adalah bulan yang agak sibuk bagi siti. Seperti yang sudah siti letakkan jadual di sini termasuk dua acara besar iaitu Minggu Setiausaha dan Konsert Istana Cinta, siti harap anda akan terus memberikan sokongan. Sebagai artis, siti akan sentiasa mahu menampilkan yang terbaik dalam setiap persembahan dan siti akan berusaha ke arah itu. Selain itu, siti juga akan menyertai Fiesta Media Idola, seperti biasa mewakili pasukan Shahzan Muda, Pahang. Jika anda berminat melihat artis dan media bersukan, silalah datang ke Kuantan, Pahang, negeri kelahiran siti. Sambil melihat kita bersukan, anda juga menjayakan kempen "Cuti - Cuti Malaysia."

Sekali lagi siti ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana telah menyokong siti selama ini. Semoga ikatan ini akan terus berkekalan dan doakan kejayaan siti dalam setiap apa yang siti lakukan. Siti juga akan turut mendoakan kejayaan anda semua.

Salam manis daripada...
Siti Nurhaliza

------------------------------------------------------------------------------------------------

Sabtu, 10 Mac 2007

Assalamualaikum dan salam mesra buat semua pengunjung laman web ini. Harapan siti agar anda semua sihat selalu hendaknya.

Bagi adik - adik yang sedang bercuti sekolah, kak siti nasihatkan agar menggunakan waktu yang ada untuk dimanfaatkan sebaiknya. Jangan berseronok sahaja kerana perjalanan akademik anda masih jauh dan tentunya banyak persediaan diperlukan untuk melalui kejayaan hari depan.

Siti di sini Alhamdulillah, menjalankan kehidupan dan karier seperti biasa. Mungkin jarang bertemu secara berdepan di majlis - majlis terbuka tetapi di sebaliknya siti tetap sibuk dengan perkara - perkara yang telah terpikul di bahu siti. Sepanjang Mac ini banyak persiapan yang harus siti lakukan untuk beberapa perkara termasuk kemunculan siti dalam Konsert Ahmad Jais di Istana Budaya pada 23 Mac nanti. Selebihnya juga beberapa persediaan untuk kerja -kerja pada April nanti. Harapnya anda memahami situasi siti, walaupun kurang berkesempatan menemui anda di acara terbuka ataupun di alam siber tetapi sokongan dan ingatan anda tetap bersama siti.

Alhamdulillah, berkat doa anda juga lagu Bisakah telah terpilih ke peringkat akhir rancangan Hits 1 di RTM. Siti akan muncul dalam pertandingan tersebut pada 27 April ini. Penglibatan siti ini adalah sokongan buat pencipta dan penulis liriknya iaitu Aubrey Suwito Tressh R.S. Bagi siti lagu ini cukup terkesan di hati dan lirinya juga amat bermakna. Doakan agar siti dapat membawakan lagu tersebut dengan baik pada hari pertandingan itu nanti. Siti juga ingin mengajak anda ke rancangan terbitan RTM sebagai menghargai Allahyarham Sudirman Haji Arshad, di Stadium Melawati, Shah Alam pada 1 April nanti. Siti akan menyampaikan dua lagu dalam konsert tersebut dan 1 April juga hari yang bermakna buat siti kerana album pertama siti dilancarkan pada 1 April 1996. Tarikh ini bolehlah dikatakan hari mengenang permulaan kerjaya siti. Datanglah beramai - ramai dan berikan sokongan anda kepada RTM, para artis dan juga sebagai penghormatan buat Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Perkembangan siti yang lainnya akan sentiasa siti kongsi bersama anda di sini. Buat masa ini cukuplah setakat ini dahulu. Semoga anda semua gembira selalu hendaknya.

Salam ikhlas daripada...
Siti Nurhaliza

------------------------------------------------------------------------------------------------

24 February 2007

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua peminat yang dirindui

Memang lama siti tak menghantar berita tetapi jangan bimbang kerana siti sentiasa menjenguk anda di sini. Walaupun agak lama siti berdiam diri dan selebihnya berada di luar negara tetapi laman ini tetap di hati siti. Semua mesej dan perkembangan tulisan anda siti baca dan siti faham apa yang ingin anda sampaikan dan begitulah juga sebaliknya.

Pertama sekali siti ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha anda mengundi siti untuk Anugerah Bintang Paling Popular yang lalu dan Alhamdulillah siti masih mengekalkan gelaran Penyanyi Paling Popular. Bagi siti, peranan anda begitu besar dalam kemenangan ini tetapi yang lebih besar adalah bagaimana siti mahu terus memberikan yang terbaik buat anda. Walaupun saban hari siti dipenuhi jadual kerja, berkejar ke sana ke sini atau bercuti sekalipun tetapi otak tetap berputar, memikirkan apa agenda dan kerja seterusnya. InsyaAllah 2007 ini akan ada sesuatu dari siti untuk anda dan juga memperkembangkan kerjaya siti walaupun sudah bergelar isteri. Sokongan anda adalah semangat untuk siti dan percayalah, kekuatan itulah yang membuatkan siti masih berada di sini.

Alhamdulillah, pemergian siti ke majlis Grammy di LA baru - baru ini juga cukup menggembirakan. Bukan mahu berseronok tetapi banyak pengalaman yang ditimba. Melihat kejayaan mereka di majlis Grammy membuatkan siti turut berfikir tentang kerjaya dan InsyaAllah mana yang baik akan siti ambil untuk dijadikan resepi kejayaan siti seterusnya. Pengalaman yang tidak pernah terfikirkan berjalan di red carpet, memang seperti mimpi. siti percaya ia adalah satu penghargaan dan siti harus berterima kasih kepada penganjur.

Banyak yang ditulis di catatan anda, pujian, teguran, kritikan dan sebagainya siti tidak pandang ringan, anda jangan bimbang. Semua itu adalah sesuatu yang siti perlukan. Siti tidak pernah lupa diri atau berubah malah siti senang dengan apa yang anda cuba sampaikan. Untuk memuaskan hati semua pihak mungkin sukar tetapi siti mencuba. Harapan siti agar anda semua memahami kerana adakala kita berusaha memberikan yang terbaik tetapi tidak dapat diterima dan begitulah sebaliknya.

Sekarang ini banyak perkara yang harus siti lakukan. Siti juga sedang mengumpul material untuk album tradisional siti, jika tidak ada aral, sebelum Jun ini akan dipasarkan. Doakan agar dikurniakan lagu - lagu yang bagus dalam album siti nanti. Sekian sahaja catatan kali ini. Semoga bertemu kembali.

Salam rindu selalu...
Siti Nurhaliza

------------------------------------------------------------------------------------------------




No comments: